Semasa

Lapangan terbang Dubai beroperasi sepenuhnya buat pertama kali

DUBAI : Lapangan terbang Dubai, antara hab perjalanan udara tersibuk di dunia, telah beroperasi sepenuhnya buat kali pertama sejak wabak Covid-19 melanda pada Mac 2020.

Sebelum ini, sebahagian lapangan terbang ditutup apabila krisis Covid-19 berlarutan di Emiriah Arab Bersatu.

“Selepas selesai fasa terakhir, lapangan terbang itu beroperasi sepenuhnya, dengan semua terminal, ruang legar, lounge, restoran dan kedai runcit kini dibuka,” kata agensi berita rasmi United Arab Emirates (UAE), WAM dalam satu kenyataan.

Perjalanan melalui Dubai melonjak pada hujung tahun dengan warga asing dan sebahagian besar penduduk Emiriah pulang bercuti dan tiba untuk menyambut Tahun Baru.

Tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai melaporkan penurunan 70 peratus daripada lebih 86 juta pelancong pada 2019 kepada 25.9 juta pada 2020.

Pada separuh pertama tahun ini, 10.6 juta orang melalui lapangan terbang itu.

Ekonomi Dubai yang berasaskan pelancongan menarik 16.7 juta pelancong pada 2019 dan mengharapkan pameran perdagangan Ekspo 2020 selama enam bulan bagi meningkatkan ekonomi, dengan lebih tujuh juta kunjungan sejak dibuka pada 1 Oktober.

Emiriah Arab Bersatu yang terdiri daripada tujuh emiriah termasuk Abu Dhabi dan Dubai telah melancarkan kempen imunisasi di seluruh negara untuk kira-kira 10 juta penduduknya.

Bagaimanapun, kadar jangkitan Covid-19 meningkat semula dengan 301 kes dilaporkan di UAE pada hari Isnin, berbanding hanya 92 kes minggu sebelumnya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button