DuniaSemasa

Lapangan terbang di Iraq diserang dron bersenjata

ARBIL: Lapangan terbang antarabangsa di bandar Arbil, dekat utara Iraq yang terletak berhampiran konsulat Amerika Syarikat (AS) diserang dron bersenjata, kata pasukan keselamatan Kurdish dalam satu kenyataan semalam.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dikenal pasti dalam serangan yang dilakukan oleh dua dron bersenjata itu,” kata kenyataan itu.

Menurut pengarahnya, Ahmed Hochiar, lapangan terbang itu yang turut menempatkan markas tentera gabungan pasukan anti jihad tidak mengalami sebarang kerosakan.

Seorang wartawan AFP mendengar dua letupan kuat dan melihat kepulan asap hitam tebal di langit serta turut mendengar bunyi siren di sekitar konsulat AS.

Menurut saksi kejadian, pasukan keselamatan bertindak menutup jalan masuk ke zon lapangan terbang.

Serangan seperti itu kebiasaannya menyasar tentera atau kepentingan AS di Iraq dan ia berlarutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Walaupun belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden itu, Washington menyalahkan tentera pro-Iran di Iraq.

Penggunaan dron bersenjata menimbulkan cabaran baharu bagi pasukan tentera gabungan dan sistem pertahanan anti peluru berpandu C-Ram, dibangunkan AS.

Beberapa minggu sebelumnya, tiga dron menyasar lapangan terbang di Baghdad yang turut menempatkan tentera AS.

Iran dan AS menempatkan anggota tentera dan sekutu mereka di Iraq.

Terdapat 2,500 tentera AS yang ditempatkan di sana. Serangan terbaru itu berlaku pada ulang tahun ke-20 serangan 11 September ke atas AS yang menyaksikan hampir 3,000 orang terbunuh.

Untuk rekod, Arbil adalah ibu negeri wilayah autonomi kerajaan Kurdistan yang dipimpin oleh presidennya, Nechirvan Barzani. – AFP

Related Articles

Back to top button