DuniaSemasa

Lapan maut dalam letupan di luar masjid Kabul

KABUL: Kira-kira lapan maut dalam letupan di luar sebuah masjid di Kabul, Afghanistan, semalam lapor seorang pegawai Taliban kepada Arab News.

Menurut laporan Perkhidmatan BBC Pashto, sekurang-kurang 20 lagi orang cedera dalam serangan bom itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri bawah kerajaan interim Taliban, Saeed Khosti, berkata tiga individu telah ditahan berhubung serangan itu.

Sebuah hospital kecemasan yang dibiayai oleh Itali di Kabul melaporkan bahawa pihak hospital menerima empat orang yang cedera dalam letupan itu.

Sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada pertengahan Ogos, serangan kumpulan militan Daesh terhadap mereka meningkat.

Sekaligus, menimbulkan peningkatan konflik yang lebih luas antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Terdahulu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memaklumkan melalui Twitter bahawa ‘sejumlah orang awam’ terkorban dalam letupan ‘berhampiran pintu masuk Masjid Eidgah di Kabul.’

Ketika kejadian, orang ramai berkumpul di masjid itu untuk menghadiri majlis solat dan doa bagi arwah ibu Mujahid.

Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button