ANKARA: Seorang kelasi terbunuh manakala 15 lagi kelasi warga Turki, diculik selepas kapal mereka diserang di luar pesisir pantai Nigeria.
Menurut berita Anadolu, kru kapal pada mulanya berjaya menyembunyikan diri, namun selepas enam jam tempat selamat mereka diceroboh lanun.
Dalam pergelutan dengan lanun seorang jurutera warga Azerbaijan maut.
Lanun itu kemudian meninggalkan kapal dan meninggalkan baki tiga orang kelasi membawa kapal kapal kargo Mozart milik syarikat Turki, yang mengibarkan bendera Liberia.
Stesen televisyen Turki, NTV, yang menemu bual beberapa anak kapal, melaporkan bahawa beberapa dalam kalangan mereka cedera.
Mozart sedang dalam perjalanan dari Lagos, Nigeria menuju ke Cape Town di Afrika Selatan apabila diserang lanun hari ini dan kini sudah tiba di Port-Gentil dekat Gabon.
“Penyamun, lanun yang menculik rakyat kita belum menghubungi kami lagi tetapi mereka pasti berbuat demikian bagi mengemukakan tuntutan,” katanya.
Terdahulu, rakaman ciapan Twitter dari Mozart, yang didakwa suara kapten kapal berkenaan, berkata: “Saya tidak tahu ke mana haluan kami. lanun sudah memotong kabel, hanya radar sahaja yang berfungsi”.