BUKIT KAYU HITAM : Lagi insiden melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand ditembak.
Kali ini berlaku di Bukit Kayu Hitam, Kedah, petang tadi.
Mangsa, seorang anggota PGA dari Kompeni B, Batalion 3 PGA Bidor, cedera di bahagian perut selepas dipercayai ditembak individu tidak dikenali dari arah negara jiran.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.51 petang ketika anggota berusia 26 tahun itu sedang membuat rondaan di sekitar Pos M16 hingga Martek Bukit Kayu Hitam.
Ketika rondaan, mangsa telah ditembak secara tiba-tiba dari arah negara jiran yang dipercayai dengan menggunakan senapang angin.
Mangsa dikatakan sempat melihat kelibat seorang lelaki berpakaian gelap berhampiran pagar keselamatan.
Sejurus kemudian, anggota terbabit bergegas pulang ke pos M16 untuk mendapatkan bantuan.
Difahamkan, anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru mengalami melecet kulit di bahagian perut.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Siasatan lanjut sedang dilakukan dan kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.