Kepenggunaan

Ladang Ummah usaha kukuhkan industri penternakan ruminan dengan pelaburan RM10juta

KAJANG: Industri penternakan menjadi sebutan selepas ketidaktentuan pasaran industri makanan khususnya daging lembu hingga pelbagai usaha dan pelan dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun industri dalam mengawal jaminan pasaran makanan negara. Namun sehingga kini, kebergantungan negara kepada daging import masih tinggi.

Menurut data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, pada tahun 2020, Malaysia telah mengimport lebih daripada 207,000 tan lembu hidup dan daging lembu seberat 225,000 tan untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan. Manakala menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, sektor ternakan menyumbang sebanyak 7.3% kepada keluaran sektor pertanian negara pada tahun 2020.

Ladang Ummah (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputera yang diasaskan menerusi sokongan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ditubuhkan dengan objektif untuk memperkasakan industri penternakan negara mengikut kehendak syariah, Halal, Toyyib dan bebas daripada sebarang Syu’bah.

Syarikat berpandangan dengan meningkatnya kesedaran tentang keselamatan makanan dan kepentingan untuk membangun ketahanan negara dalam bekalan makanan, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk produk ternakan tempatan di Malaysia. Dengan menumpukan kepada permintaan domestik, Ladang Ummah berharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan pada import ternakan dari luar negara dan pada masa yang sama, memperkasakan industri ternakan tempatan.

Justeru pada Khamis, syarikat Ladang Ummah (M) Sdn Bhd, telah memeterai sebuah memorandum perjanjan pelaburan antara NRG Capital Sdn Bhd. bagi tujuan membawa masuk suntikan pelaburan sebanyak RM 10juta sebagai usaha memperkukuhkan jenamanya dalam industri penternakan ruminan negara.

“Industri penternakan negara berada dalam segmen kritikal jika kita gagal melaksanakan usaha bersungguh untuk keterjaminan makanan domestik. Justeru syarikat Ladang Ummah optimis berusaha menjadi peneraju penternakkan ruminan dengan kekuatan memasarkan 10,000 lembu setahun khusus untuk dalam negara menjelang 2025,” menurut Pengerusi Ladang Ummah, (Dr.) Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby.

Ladang Ummah juga telah dijemput oleh kerajaan Rusia untuk menghadiri dan meneroka peluang kerjasama pelaburan dalam Kazan Economic Forum 2023 yang akan diadakan di Tatarstan pada bulan Mei ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ladang Ummah, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Faris Hussain, mengalu-alukan pelabur, rakan strategik dan semua pihak untuk terus bergabung dengan Ladang Ummah dalam meluaskan pasaran serta mengukuhkan industri ini .

“Setakat ini kita mempunyai 3 buah ladang di 3 negeri iaitu di Selangor, Perak dan juga Kedah. Pihak syarikat juga menerima lebih 100 permohonan termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk pengusaha lembu menyertai program ladang satelit kepada syarikat Ladang Ummah” kata Haji Faris Hussain.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Ladang Ummah (M) Sdn. Bhd dan NRG Capital Sdn. Bhd. yang telah diadakan di Ummah Hall, Bandar Bukit Mahkota turut dihadiri Datuk Dr Haji Muhammad Fairus Hussain Ketua Pegawai Eksekutif Diversatech Fertilizer Sdn. Bhd., Huda Nur Liyana Ketua Pegawai Eksekutif NRG Capital Sdn Bhd., Shamsul Qamar & Suji Nordin dari CSQ Network.

Turut sama kelihatan hadir dalam majlis berkenaan adalah pempengaruh media sosial Ku Addy Fazly bin Ku Radin atau BroKu dan Muhammad Luthfi Rohime atau Mat Luthfi.

***ruminan – (Bio) haiwan spt lembu, kambing dan rusa yg mengeluarkan balik makanan yg separuh cerna dr perut utk dikunyah semula. (Kamus Dewan Edisi Ke-4)

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button