Semasa

Kuala Lumpur dilanda fenomena hujan batu

PETALING JAYA : Beberapa kawasan di ibu negara dilanda hujan batu petang semalam semasa berlaku ribut petir yang kuat beserta hujan lebat dan angin kencang.

Namun, fenomena tersebut dianggap hanyalah sebagai perkara biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian hujan batu berlaku apabila awan Kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer.

“Suhu udara dalam awan tersebut melepasi nilai ambang tahap beku dan (menyebabkan) pembentukan ketulan-ketulan ais di atas lapisan tersebut.

“Ais yang terbentuk dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah.

“Titisan hujan yang terbentuk sebagai ketulan-ketulan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 sentimeter iaitu sebesar guli,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, kawasan yang berada di bawah awan Kumulonimbus sering dilanda hujan batu lazimnya berlaku setempat dalam tempoh singkat sekitar 10 hingga 20 minit.

Terdahulu, berdasarkan kepada imej radar dan satelit semalam, awan hujan dan ribut petir aktif dicerap memasuki Kuala Lumpur sekitar pukul 3.30 petang dan kejadian hujan batu bermula kira-kira pukul 4 petang.

Jelas beliau, MetMalaysia namun terlebih dahulu telah mengeluarkan Amaran Ribut petir pada pukul 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button