Dari Amerika Syarikat ke Jordan, rakyat dan pemimpin dunia telah mengutuk serangan israel ke atas tempat perlindungan PBB di selatan Gaza.
Pada hari Rabu dua peluru kereta kebal Israel mengenai bangunan yang melindungi 800 orang di bandar Khan Younis, menurut Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk empat kanak-kanak dan mencederakan 75 yang lain, kata ketua UNRWA, Thomas White, di X.
Sebagai tindak balas, Jordan mengecam sekeras-kerasnya serangan itu dan menggesa agar pencerobohan israel dihentikan di kawasan Palestin.
Kementerian Luar Jordan menyifatkan serangan itu sebagai “perbuatan yang bercanggah dengan nilai manusia dan etika, dan melanggar undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Geneva 1949.”
Pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan oleh Israel adalah hasil daripada ketiadaan pendirian antarabangsa yang tegas untuk menamatkan perang yang sedang marak Semenanjung Gaza.
Jordan juga menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk segera menghentikan “cabaran terang-terangan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan menyeru gencatan senjata.”
Di samping itu, AS mengeluarkan kenyataan sendiri mengenai serangan itu, mengingatkan Israel bahawa ia mempunyai “tanggungjawab untuk melindungi orang awam, termasuk, kakitangan kemanusiaan.
“Kami amat bimbang dengan laporan hari ini mengenai serangan ke atas kemudahan UNRWA, di mana lebih 30,000 orang Palestin yang kehilangan tempat tinggal dilaporkan telah berlindung di situ.
Adrienne Watson, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih menyifatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah sebagai tragedi dan kematian serta kecederaan kanak-kanak semasa perang tiga bulan sebagai “menyayat hati.”
Bagaimanapun, beliau juga berkata Amerika Syarikat “tetap tidak berbelah bahagi dalam menyokong Israel untuk mempertahankan diri”.
Jabatan Negara AS juga kesal dengan serangan ke atas kemudahan PBB dan menekankan bahawa pekerja kemanusiaan mesti dilindungi supaya mereka dapat terus memberikan bantuan kepada orang awam.
Episentrum pertempuran
Tentera Israel berkata pada hari Selasa ia telah “mengepung” Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza yang telah menjadi pusat pertempuran baru-baru ini.
Serangan ke atas pusat perlindungan di bandar terbesar di selatan Gaza itu mencetuskan kecaman antarabangsa, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelar israel kerana “tidak menghiraukan secara terang-terangan” peraturan perang.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus mengecam pengeboman israel ke atas bandar itu, menyebutnya “mengerikan”.
Israel telah melancarkan serangan maut ke atas Gaza sejak serangan Hamas 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 25,700 rakyat Palestin dan mencederakan 63,740 yang lain.
Serangan israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala lebih separuh daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI