PalestinSemasa

Krisis kesihatan di Gaza semakin meruncing, virus polio ditemui dalam kumbahan

Krisis kesihatan semakin meruncing di Gaza dengan kemunculan virus polio dalam kumbahan, dedah Kementerian Kesihatan Gaza.

Kenyataan kementerian menyatakan bahawa ujian ke atas sampel kumbahan, yang dijalankan dengan penyelarasan dengan UNICEF, mengesahkan kehadiran virus polio.

Kenyataan itu menambah bahawa kehadiran virus dalam kumbahan, yang mengalir melalui zon kediaman dan khemah pelarian, berpotensi menjadi krisis kesihatan baharu.

Kementerian memberi amaran bahawa pengesanan virus dalam kumbahan meletakkan beribu-ribu penduduk berisiko dijangkiti polio.

Secara berasingan, Kementerian Kesihatan israel mengesahkan pada Khamis bahawa ia menemui komponen virus polio jenis 2 dalam sampel kumbahan dari Gaza.

Kementerian itu berkata dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Saluran 12 bahawa keputusan sampel sepadan dengan hasil Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Polio adalah penyakit virus berjangkit yang menyerang sistem saraf dan boleh menyebabkan lumpuh total dalam beberapa jam.

Dalam waktu yang sama israel telah membunuh lima orang dalam serangan udara Gaza dan mencederakan yang lain selepas mengebom sebuah rumah di kem Al-Bureij di tengah Gaza, agensi pertahanan awam melaporkan.

Serangan udara itu mensasarkan rumah keluarga Abu Hasna, meragut lima nyawa dan mencederakan yang lain, tambah agensi itu.

Serangan itu turut memusnahkan rumah dan menyebabkan kerosakan besar pada bangunan berhampiran, kata saksi kepada Anadolu Agency.

Pasukan perubatan dan pertahanan awam menghantar mangsa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di tengah Gaza.

SUMBER : TRT World

 

Related Articles

Back to top button