Krisis Kebuluran Dijangka Tingkat Mendadak Dengan 300,000 Kematian Sehari – WFP
Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan kenyataan bahawa dunia bakal menghadapi krisis “kebuluran mega” jika tiada dana yang mencukupi bagi menampung keperluan makanan negara-negara miskin di seluruh dunia.
“Apa yang kita hadapi sekarang adalah pandemik berganda … iaitu kelaparan yang dapat memberi kesan kepada kita dalam skala yang sangat besar,” kata Pengarah Eksekutif WFP David Beasley dalam satu persidangan di Geneva semalam.
Tambahnya lagi WFP membantu hampir 100 juta orang dalam tempoh sehari termasuklah 30 juta orang yang bergantung sepenuhnya kepada WFP.
Beasley, yang baru pulih dari COVID-19, mengatakan jika 30 juta orang itu tidak lagi dibantu, analisis menunjukkan bahawa 300,000 orang dijangka mati kelaparan setiap hari dalam tempoh waktu tiga bulan.
“(Krisis) Kebuluran berskala mega semakin menghampiri sekarang. Sebelum COVID-19 melanda, kita sudah memiliki 135 juta orang, yang berisiko ke arah kebuluran. Itu adalah tambahan kepada 821 juta orang yang telahpun mengalami kelaparan secara kronik.” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, PBB telah mengeluarkan rayuan baru untuk dana sebanyak USD 4.7 bilion untuk “melindungi berjuta-juta nyawa dan membendung penyebaran coronavirus di negara-negara miskin”.
WFP's #HungerMapLIVE signals that #COVID19 cases are estimated to double within 7 days or less in 10 countries and within 3 days or less in São Tomé e Príncipe, Yemen, Comoros and Tadjikistan.
Visit https://t.co/XFyO0pACx8 to keep track of how COVID-19 shifts daily. pic.twitter.com/z0PNASALZ7
— World Food Programme (@WFP) May 11, 2020
Rayuan yang terbaru itu bagi mendapatkan USD2 bilion tambahan dari jumlah yang dikemukakan pada 25 Mac lalu bagi menampung keperluan sembilan negara tambahan iaitu Benin, Djibouti, Liberia, Mozambique, Pakistan, Filipina, Sierra Leone, Togo dan Zimbabwe.
Jangkitan COVID-19 dijangka memuncak di negara-negara termiskin di dunia dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, menurut anggaran PBB.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengulas walaupun rekod kes di sebagian besar negara membangun tersebut tidak tinggi, ianya mungkin berikutan kemampuan sistem kesihatan di negara-negara ini adalah lemah justeru bilangan kes positif yang tidak dikesan adalah tinggi.
Sementara itu Ketua Pelarian PBB, Filippo Grandi juga mengatakan kesan pandemik terhadap pelarian dari peperangan dan penganiayaan adalah sangat dahsyat.
“Hanya tindakan kolektif untuk mengekang ancaman coronavirus yang dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.
Mark Lowcock, Ketua Kemanusiaan PBB mengatakan wabak coronavirus adalah sesuatu di luar kemampuan kerana belum pernah dihadapi oleh dunia sebelum ini.
Langkah luar biasa diperlukan. Ketika kita bersama-sama memerangi virus ini, saya mendorong para penyumbang untuk bertindak dalam solidariti dan kepentingan diri dan mengambil tindakan sebanding dengan skala masalah yang kita hadapi.”
– Mark Lowcock, Ketua Kemanusiaan PBB