KUALA LUMPUR: Bagi membantu kes prosiding penderaan membabitkan remaja kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai Bella, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan peguam Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata dalam menegakkan keadilan remaja tersebut, niat murni Tunku Ismail yang menawarkan peguam percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella, 13, sangat membantu.
“Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan Tuanku (Tunku Ismail).
“Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan dizahirkan Tuanku dan Che Puan Besar (Khaleeda Bustamam) yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Instagram, hari ini.
Tambahnya lagi, pihak kementerian bersedia menghadap Tunku Ismail dan isterinya, Khaleeda bagi mempersembahkan status kes perbicaraan Bella serta tindakan susulan pihaknya dalam membantu perbicaraan kes terbabit.
“Buat seluruh Keluarga Malaysia dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran serta keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak,” katanya.
Terdahulu, menerusi Instastory Tunku Ismail di Instagram rasmi baginda yang memaklumkan sudah menghubungi peguamnya dan akan berhubung dengan Rina bagi menawarkan perkhidmatan peguam bagi menjalankan arahan memerhati secara percuma bagi pihak kementerian berkaitan kes penderaan remaja berkenaan.
Tunku Ismail mengeluarkan titah tersebut selepas beberapa jam Khaleeda berkongsi pendiriannya di laman Instagramnya semalam, bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan Down Sindrom berkenaan.
Kisah Bella mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan, setelah pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 31, didakwa mendera dan mengabaikan Bella.
Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today