Semasa

KPN sumbang RM1 juta bantu urus mayat bukan Islam

PUTRAJAYA : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan bekerjasama dengan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan bantuan kewangan sejumlah RM1 juta kepada Pusat Sehenti Sementara, Hospital Kuala Lumpur (PUSARA HKL) untuk pengurusan mayat warga tempatan selain Islam.

Ia berikutan beberapa isu termasuk keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat khususnya dalam kalangan B40 yang dikenal pasti menjadi punca kelewatan pengurusan mayat di PUSARA HKL selain kekurangan sumber manusia bagi menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris.

KPN dalam satu kenyataan berkata, bantuan kewangan itu meliputi RM500,000 di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat kaum India.

Katanya, ia turut meliputi bantuan RM500,000 di bawah Program Pembangunan Kampung Baru bagi pengurusan mayat kaum Cina yang diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris B40.

“Kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO) melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak PUSARA HKL,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berharap melalui insiatif itu dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button