KPM bakal bina Kolej Tingkatan Enam di Kelantan
KOTA BHARU: Kelantan bakal mempunyai Kolej Tingkatan Enam yang pertama dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kolej tersebut bakal dibina di Bukit Cina yang bersempadan di antara Ketereh dan Machang.
Katanya, ia memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti Pendidikan peringkat lepasan menengah di premis kolej yang lengkap dengan 20 bilik darjah serta kemudahan lain.
“Ketika ini terdapat 23 Kolej Tingkatan Enam yang sedang beroperasi di seluruh negara dan kini Kelantan juga bakal mempunyai Kolej Tingkatan Enam pertama dengan premis dan pentadbiran sendiri.
“Kolej berkenaan dibina di lokasi strategik berhampiran jalan utama yang menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang.
“Pastinya pembinaan kolej ini dapat terus memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik demi anak-anak generasi pewaris negara, khususnya di Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook.
Radzi turut berterima kasih kepada pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang memberikan taklimat, malah beliau terlebih dahulu meninjau di lokasi tapak pembinaan tersebut.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today