DomestikEkonomiSemasa

KPDNHEP siasat kenaikan harga barang

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) beri jaminan akan menyiasat di setiap peringkat pengedaran secara terperinci dan menyeluruh bagi kes kenaikan harga barangan yang melampau bagi mengelak aktiviti pencatutan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pihak pengeluar, pemborong, pengedar dan peruncit akan diselidik sekiranya terdapat aduan kenaikan harga tidak munasabah bagi melihat puncanya.

Tambahnya lagi, negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh factor permintaan dan penawaran serta peniaga boleh menentukan sebarang perubahan harga barangan, namun tertakluk kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Kita tidak boleh mengelak kenaikan harga ini disebabkan pelbagai faktor, namun tidak munasabah jika keuntungan yang diperoleh di setiap peringkat pengedaran barangan tersebut membebankan pengguna.

“Sekiranya siasatan kita mendapati kenaikan harga itu tidak munasabah dan berlaku pencatutan berdasarkan dokumen pembelian di setiap rantaian tadi, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Media Terengganu, di sini malam tadi.

Menurutnya, aktiviti perniagaan di bazar Ramadan tahun ini akan dipantau oleh 2,200 pegawai penguatkuasa dengan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga (PPH).

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button