
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan orang ramai untuk membuat aduan jika harga makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak munasabah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata aduan masih boleh dibuat kepada pihak berkenaan walaupun ketika ini tiada garis panduan kawal harga makanan siap dimasak.
Jika benar harga yang ditawarkan peniaga keterlaluan, KPDNHEP akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan daripada pengguna seterusnya mengambil tindakan dengan memberi notis.
“Peniaga pula perlu bekerjasama memaklumkan bahan-bahan yang digunakan sehingga membuatkan mereka perlu meletakkan harga sedemikian.
“Walaupun tiada garis panduan kawal harga makanan siap dimasak tidak kira di bazar Ramadan atau restoran, perlu ada margin yang munasabah,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mahu pengguna tidak ‘ditekan’ dari segi harga dan buat masa ini belum ada garis panduan untuk mengawal harga makanan yang sudah dimasak.
Beliau dilaporkan berkata, agak sukar untuk mengawal harga makanan yang sudah siap dimasak berbanding dengan harga barangan mentah yang dikawal kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof, berkata sebelum membeli makanan di bazar Ramadan pengguna perlu bijak dengan membuat perbandingan antara gerai yang dijual terlebih dahulu.
Katanya, ini kerana di bazar Ramadan terdapat dua jenis peniaga iaitu peniaga makanan yang memang sudah berniaga dan memilih untuk menjual di bazar serta mereka yang hanya berniaga pada Ramadan sahaja.
“Bagi peniaga yang berniaga setiap hari, kita akur mereka memang mengalami kenaikan kos tetapi oleh kerana mahu menjaga pelanggan, ada yang cuba untuk mengekalkan harga dan ada yang hanya menaikkan harga sedikit.
“Namun bagi mereka yang hanya berniaga pada Ramadan, mereka ini dipercayai cenderung meletakkan harga yang tinggi bagi mendapat keuntungan semaksimum mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada lokasi turut memainkan peranan peniaga yang sengaja meletakkan harga makanan mahal, beliau berkata perkara itu berkemungkinan berlaku terutama di Kawasan elit, namun harganya tidak jauh berbeza berbanding di lokasi biasa.
Katanya, ia sama seperti ditawarkan di restoran mewah yang menampilkan kelainan dan keistimewaan tersendiri dalam makanan berbanding kedai makan biasa.
“Tetapi jika sebagai contoh laksa yang biasanya dijual dengan harga RM6, tetapi di bazar Ramadan di kawasan elit dijual dengan harga RM10, ia tidak munasabah.
“Melainkan jika laksa yang dijual dengan harga itu istimewa dan tiada di bazar lain, mungkin harga itu wajar,” katanya.
Tambahnya lagi, jika pengguna merasakan harga makanan keterlaluan dan tidak masuk akal, mereka boleh membuat aduan supaya tindakan dapat dibuat walaupun tiada garis panduan yang ditetapkan.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today