DomestikEkonomiSemasa

Kos haji meningkat cecah lebih RM25,000

PETALING JAYA: Susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepad lebih RM25,000 untuk seorang.

Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada 2019 ialah RM22,900.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai yang telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan, tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai  baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Mekah dan Madinah menyebabkan kos haji yang meningkat saban tahun.

“TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan namun setakat ini, TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama.

“Selain itu, TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun. Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16 peratus manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139 peratus disebabkan faktor luar kawalan TH.

“Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” katanya dalam kenyataan.

Kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan merangkumi penerbangan dan penginapan merupakan kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadah haji.

Kos-kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari. Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai dan kadar inflasi di sana.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button