
BENTONG 29 Mac – Empat sekeluarga termasuk kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan pulang ke Morib, Selangor dari majlis perkahwinan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub awal pagi Isnin. (29 Mac)
Mangsa yang terlibat, Marlina Abdul Muid, 34, yang kehilangan anak lelakinya Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, tidak pernah terlintas akan turut kehilangan dua kakaknya Marlianna, 37, dan Marlia, 36, secara serentak.
Menurutnya, mereka bergerak pulang ke Morib secara berkonvoi dengan tiga kereta selepas menghadiri majlis perkahwinan adik lelakinya. Turut maut anak saudara Marlina, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, yang juga merupakan anak Allahyarham Marlia.
“Masa bersiap sebelum bergerak, semuanya elok saja, anak saya memang rapat dengan dua ibu saudaranya, sebab itu mereka naik kereta bersama-sama. Masa kejadian kereta saya sudah di hadapan manakala kereta mangsa di belakang, ketika dalam perjalanan adik lelaki yang memandu di belakang kereta kakak telefon dan beritahu kakak terlibat dalam kemalangan,” – Marlina Abdul Muid
Dalam kejadian kira-kira 4.10 pagi itu, Marlianna yang juga pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan Marlia maut di tempat kejadian manakala Muhammad Aisy Harraz dan sepupunya Muhammad Faizz Aryan, disahkan meninggal dunia pada 6.30 pagi, selepas menerima rawatan di Hospital Bentong. Kesemua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Morib, Selangor.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, namun tidak berjaya sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan kereta dari arah bertentangan.
Pemandu treler yang berusia 42 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan trelernya itu turut rosak.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar