Kisah runner perempuan yang tabah
Siri Inspirasi Ummah - Terus berusaha membahagiakan keluarga
“Kalau tak ada kau, susah orang kampung ni.” Itulah kata-kata rakan yang membuatkan saya semakin bersemangat.
Nama saya Siti Rafiah Binti Ab Rashid. Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Eletronik (Kejuruteraan Komputer) dengan Kepujian. Saya berasal dari Kelantan.
Saya sekarang bekerja sebagai runner. Bukan dengan Grab, bukan dengan Foodpanda, bukan juga dengan Lalamove, dan mana-mana syarikat. Saya adalah runner bebas. Orang telefon, saya datang.
Boleh ke perempuan jadi runner bebas? Boleh hidup ke? Boleh. Inilah cerita saya.
Semuanya bermula semasa saya belajar di UteM. Demi mencari duit poket saya banyak membuat kerja sambilan.
Selepas habis belajar emak sudah berpesan, kalau boleh cari kerja di Kelantan. Sedangkan semua tahu bahawa peluang kerja di Kelantan untuk jurusan seperti saya amat sulit. Ramai yang bekerja sendiri (berniaga).
Mujur semasa di Utem saya sudah ada pengalaman kerja sambilan. Semasa melayari media sosial mencari peluang kerja di tempat sendiri, saya ternampak peluang untuk menjual produk kecantikan. Keutamaan saya waktu itu ialah kerja yang boleh saya lakukan dari tempat asal saya. Yang penting restu ibu. Kerja apapun tidak mengapa asal halal.
Saya ambil peluang itu dan saya mendapat ramai pelanggan. Ada yang meminta produk di pos, ada yang meminta COD (cash on delivery). Jadi meratalah saya pergi ke daerah di Kelantan. Saya jadi kenal jalan-jalan dan kawasan di Kelantan. Ia menjadi asas kepada kerjaya saya sebagai ‘runner bebas’.
Saya pula memang sejenis yang tidak boleh duduk diam. Sekiranya tidak ada kerja, saya akan mula resah memikirkan apa yang boleh saya lakukan. Jadi dalam waktu itu saya menjadi dropshipper dan stokis untuk beberapa produk lagi, dan perjalanan COD saya semakin kerap.
Mungkin kerana kerap COD, saya mula seronok dan mula terfikir untuk menjadi runner. Saya buka peluang dulu kepada penduduk kampung saya dan ada permintaan. Saya buka juga tawaran untuk menjadi personel shopper di Golok Thailand. Pemintaan juga menggalakkan, dan tip yang saya terima juga lumayan. Saya kemudiannya jatuh cinta dengan kerjaya runner kerana hobi saya adalah bermotosikal. Saya juga lebih bebas dan saya banyak mempelajari kemahiran yang baru.
Misalnya kemahiran membeli keperluan bayi. Setiap peringkat umur bayi barangan yang dibeli juga berbeza. Begitu juga sekiranya menjadi ‘runner’ untuk urusan pihak kerajaan, sama ada lesen atau permit. Ada banyak perkara baru yang saya belajar dan saya yakin ini sangat berguna pada masa hadapan.
Itu baru hal teknikal. Saya juga memperoleh kemahiran untuk mengurus masa dan menyelesaikan masalah. Ini kerana setiap hari saya perlu berurusan dengan ramai pelanggan. Perlu uruskan masa dengan sebaik-baiknya dan kreatif dalam berunding dengan mereka. Ini sangat berguna untuk keseharian saya.
Cabaran
Dalam kerjaya sebagai runner ini, cabaran masa dan cuaca yang menjadi halangan utama. Ini kerana saya menggunakan motosikal, dan adakalanya barangan pelanggan tidak boleh terkena hujan. Saya juga tidak boleh lewat. Semuanya berkenaan ‘pengalaman pelanggan’. Itu yang saya cuba jaga dengan sebaik-baiknya. Ini kerana pelanggan yang gembira, akan membayar lebih dan ini memberikan kita ‘pengalaman yang tidak dapat dilupakan’.
Untuk cabaran lain saya tidak kisahkan sangat sebab yang utama untuk saya adalah restu ibu. Adanya restu ibu, cabaran lain seperti kerenah pelanggan ataupun ‘cakap-cakap orang’ sudah tidak menjadi relevan. Saya anggap itu semua pahala sabar untuk saya.
Untuk masa hadapan, saya seorang yang ‘follow the flow’. Ambil sahaja peluang yang ada. Fokus saya sekarang ialah habiskan membayar hutang PTPTN dan membahagiakan ibu dan keluarga. Saya yakin, fokus kepada membayar hutang dan membahagiakan keluarga akan membuka peluang-peluang rezeki lain pada masa hadapan.
Begitulah cerita saya. Seorang perempuan yang menjadi runner bebas. Untuk saya, kita perlu positif. Lihat peluang apa yang ada di sekitar kita. Ini kerana setiap tempat akan ada peluang yang berbeza. Saya di Kelantan, inilah peluang yang jelas untuk saya. Mereka yang tinggal di Selangor ataupun Sabah pula lain peluangnya. Yang pasti kita semua tetap ada peluang untuk berbakti kepada keluarga.
Saya tidak ada doa spesifik ataupun kata-kata motivasi khas. Semuanya saya amalkan. Cuma saya tidak pernah tinggalkan, basmallah. Untuk yang berkira-kira mahu menjadi runner, saya cuma mahu berpesan, ini bukan kerja untuk semua orang. Tetapi kerja ini akan membuka banyak peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kemahiran diri. Jangan menjadi runner yang melanggar undang-undang. Jadilah runner yang disayangi manusia dan diredhai Allah. InsyaAllah.
Untuk yang mahu menggunakan khidmat saya boleh cari saya di Facebook dan Instagram dengan nama Rafiah Fifiey. Saya akan cuba membantu anda.