KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewakili rantau Pasifik Barat bagi 2022-2023.
Pelantikan itu dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif Ke-151 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebulat suara melantik beliau berdasarkan prinsip giliran antara rantau geografi, dengan Malaysia ketika ini adalah ahli Lembaga Eksekutif WHO sejak tahun lalu sehingga 2024.
Khairy dilantik bersama dengan calon-calon yang mewakili tiga lagi negara yakni Colombia, Yaman dan Timor Leste.
Rakaman video pengumuman itu dikongsi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan media tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengucapkan tanhian atas pelantikan itu berkata ia merupakan satu penghormatan besar kepada negara.
Menurutnya, Malaysia akan menggunakan suaranya sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia dan Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO, untuk memperjuangkan isu penting bersama yang dihadapi di rantau ini serta komuniti global.
“Di tengah-tengah setiap krisis, terdapat peluang besar untuk melakukan apa yang betul untuk rakyat dan masyarakat, di peringkat tempatan mahupun global. Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan untuk memajukan kesihatan awam global,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia akan menyumbang ke arah kejayaan usaha WHO dalam memimpin masyarakat antarabangsa terhadap pelbagai bidang, termasuk tindak balas Covid-19, inovasi kesihatan digital, penuaan yang sihat dan aktif, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan perubahan iklim.