DuniaSemasa

Khairy dilantik Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menzahirkan ucapan penghargaan di atas lantikan sebagai Naib Presiden bagi Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang berlangsung pada 22 hingga 28 Mei tahun depan di Geneva, Switzerland.

“Terima kasih di atas pemilihan Malaysia sebagai Naib Presiden WHA. Kita akan membawa suara Pasifik Barat kepada perhimpunan dunia khususnya membabitkan prinsip kesaksamaan, solidariti dan akauntabiliti,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata, lantikan Khairy dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat ke-72 (WPRCM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Himeji, Jepun.

Tambah Dr Noor Hisham, pemilihan Khairy merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan Malaysia yang aktif dalam platform kesihatan sedunia.

“Ini adalah satu penghormatan yang besar untuk Malaysia diberi mandat sebagai Naib Presiden WHA, dan kami akan menggunakan peluang ini untuk terus memainkan peranan yang lebih besar dalam kesihatan global

“Malaysia diberi pengiktirafan atas peranan aktif dalam platform kesihatan global pada WHA Ke-69 pada 2015, dan sekali lagi pada WHA Ke-75 yang akan datang pada tahun depan bagi mewakili semua 37 negara anggota Rantau Pasifik Barat,” katanya.

WHA adalah badan pembuat keputusan tertinggi untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dianggotai oleh 194 negara anggota.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button