PalestinSemasa

Ketua UNRWA beritahu Gaza ‘sudah tidak dapat dikenali’.

Semenanjung Gaza kini “tidak dapat dikenali” dan tiada penghujung keganasan yang melanda Timur Tengah, kata ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) pada hari Rabu. 

“Setahun selepas perang dahsyat ke atas Gaza, tiada penghujung keganasan kejam yang melanda wilayah itu,” kata Philippe Lazzarini pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai situasi di kawasan Palestin.

“Ia telah menjadi tahun kehilangan dan penderitaan yang mendalam,” katanya.

Gaza telah menjadi lautan runtuhan dan tanah perkuburan untuk berpuluh-puluh ribu orang termasuk terlalu ramai kanak-kanak, katanya, sambil menyatakan bahawa hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Berbalik kepada situasi di Tebing Barat yang diduduki, beliau memberi amaran mengenai peningkatan keganasan di mana hampir 700 orang terbunuh pada tahun lalu, lebih 160 daripadanya adalah kanak-kanak.

Beliau berkata Lubnan adalah mangsa terbaharu konflik yang semakin meluas.

“Orang awam membayar harga yang tinggi. Serangan udara oleh tentera Israel membunuh beribu-ribu orang,” kata Lazzarini.

Beliau menekankan kepentingan UNRWA di Gaza, memberi amaran bahawa ruang operasi agensi itu semakin mengecil di tengah-tengah serangan Israel.

Pesuruhjaya itu berkata pegawai kanan Israel menyifatkan memusnahkan UNRWA sebagai “matlamat perang” mereka dan Israel mahu mengharamkan kehadiran dan operasi agensi itu.

“Kegagalan untuk menolak percubaan menakut-nakutkan dan melemahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di wilayah Palestin yang diduduki akhirnya akan menjejaskan kemanusiaan dan hak asasi manusia di seluruh dunia,” katanya, sambil menggesa Majlis Keselamatan memutuskan untuk segera bertindak dengan ancaman itu.

Lisa Doughten, pengarah Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bagi bahagian pembiayaan dan perkongsian,  menyelar perintah pemindahan perintag Israel orang awam di utara Gaza.

“Sekali lagi, huru-hara yang teruk berlaku dan dunia hanya memerhati,” kata Doughten.

Dia mengecam undang-undang Israel yang mahu mengharamkan aktiviti UNWRA. “Ini akan menjadi bencana untuk penyediaan bantuan dan perkhidmatan penting kepada berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat,” katanya.

Doughten berkata wanita dan kanak-kanak dilanda trauma perang dan setiap hari, menurut UNRWA, 10 kanak-kanak kehilangan satu atau kedua-dua kaki mereka.

“Gaza adalah rumah kepada kohort terbesar kanak-kanak yang diamputasi dalam sejarah moden. Wanita tiga kali lebih berkemungkinan untuk keguguran, dan tiga kali lebih berkemungkinan mati akibat bersalin,” katanya. “Kami tidak boleh mendakwa tidak tahu apa yang sedang berlaku — kami juga tidak boleh berpaling. Itulah sebabnya kami mengulangi gesaan kami untuk Majlis Keselamatan, dan negara anggota, untuk mengambil tindakan.”

Melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera, Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza. 

Sejak itu, lebih 42,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 97,700 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

SUMBER : AA

Related Articles

Back to top button