GURGAON : Beberapa aktivis Hindu didakwa membuat rondaan sebelum menghina dan menganggu jemaah yang menunaikan solat Jumaat di lokasi terbuka di sekitar Gurgaon yang meningkatkan ketegangan di India di bawah tadbir urus kerajaan nasionalis Hindu.
Dinesh Bharti, seorang Hindu berusia 40 tahun yang memakai ’tilak’ merah di dahinya mendakwa kononnya orang Islam yang solat di khalayak ramai menyebabkan kesukaran di negara ini dan juga di seluruh dunia.
Kemenangan Perdana Menteri, Narendra Modi pada pilihan raya 2014 dilihat seolah-olah ‘menambah keberanian’ kumpulan tegar yang didakwa menganggap India sebagai negara Hindu, manakala penduduk minoriti kira-kira 200 juta Muslim pula disifatkan kononnya ‘orang luar dengan potensi berbahaya.’
Gurgaon ialah sebuah bandar satelit yang canggih di New Delhi, dengan kira-kira 500,000 orang Islam yang sama ada tinggal di sana, berpindah ke sana untuk pekerjaan, atau bekerja di sana pada siang hari.
Bandar ini mempunyai 15 masjid, dan pentadbiran tempatan didakwa enggan membenarkan masjid tambahan dibina, walaupun bilangan kuil Hindu semakin meningkat.
Kerana senario itu, umat Islam terpaksa beribadat di khalayak ramai pada hari Jumaat.
Realitinya, pertubuhan Hindu telah dikatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membuang najis lembu di kawasan solat Muslim dan menghina jemaah sebagai ‘pengganas’ dan ‘orang Pakistan,’ merujuk kepada musuh utama India, negara jiran majoriti Muslim.
Sementara itu, pentadbiran tempatan didakwa terus mengurangkan bilangan lokasi terbuka yang boleh digunakan oleh jemaah.
Ketua Menteri Haryana Bhupinder Singh Hooda, yang juga ahli Parti Bharatiya Janata Modi, didakwa mengumumkan awal bulan ini bahawa solat di kawasan lapang di Gurgaon tidak lagi dibenarkan.
Bagaimanapun, pertubuhan Hindu didakwa menubuhkan kuil sementara dan dapur umum pada Jumaat lalu untuk melayani ratusan orang sambil mengeluarkan bunyi yang kuat.
Beratus-ratus umat Islam pula dikesan beratur untuk menunaikan solat kerana masjid yang ada serba kekurangan.
Di beberapa tempat, umat Islam telah diganggu oleh kumpulan tidak bertanggungjawab yang dilaporkan memaksa umat Islam menyanyikan slogan untuk menyembah dewa Hindu.
“Keadaan ini akan menjadi lebih sukar dan berbahaya jika pentadbiran tidak menemui jalan penyelesaian,” kata seorang ulama kepada agensi AFP.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM