Semasa

Kesusahan Fendy Caliph Buskers raih perhatian ramai

KUALA LUMPUR : Keperitan hidup yang dialami seorang ahli kumpulan terkenal Caliph Buskers mendapat perhatian ramai apabila kisah hidupnya tular di media sosial.

Fendy Adlun, 30, pemain dram kumpulan itu mengakui pendapatan hariannya terjejas lebih setahun dan hampir tiga bulan tidak mendapat bantuan bekalan makanan dari mana-mana pihak.

Beliau yang juga individu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan terpaksa mengadaikan ‘harta’ kesayangannya iaitu alat muzik dram untuk mendapatkan pulangan bagi membeli barang keperluan asas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, terpanggil menyantuni Fendy dengan memberikan sumbangan berbentuk bantuan kewangan serta bakul makanan dan juga pek ‘Ready to Eat’.

“Saya juga telah menguruskan permohonan untuk OKU di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berupa Bantuan Kewangan Khas OKU seperti yang telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 yang lalu.
“Ia merupakan bantuan yang diberikan untuk membantu golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja OKU atau bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sedia ada.” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Rina berkata pihaknya akan memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini pernah dimohon Fendy, diuruskan dalam kadar segera.
“Saya akan bawa pegawai DBKL untuk proses permohonan ini dan diselesaikan secepat mungkin. Rumah yang disewa ketika ini RM1,300 sebulan.

“Saya juga sudah berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk bantuan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dan Dana Kreatif Malaysia kepadanya. Sukarelawan akan memantau kelangsungan hidup bapa tunggal itu dengan anak perempuannya Nur Azalea Zafirah berusia enam tahun,” katanya.

Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button