Semasa

Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan kaum jadi kunci kemakmuran negara

Titah Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan kemerdekaan ke-65

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira yang berada di dalam mahupun luar negara.

Dalam kenyataan media Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-65 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

“Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum merupakan kunci untuk keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.” titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah tiga perkara itu juga merupakan kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah dikecapi selama ini, malah berusaha menyemarakkannya sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Seri Paduka berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci itu, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap atau bersifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi,” tulis Datuk Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button