Kesan Instagram terhadap kanak-kanak disiasat AS
WASHINGTON : Siasatan terhadap syarikat induk Instagram, Meta telah diumumkan oleh beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan mempromosikan kandungan aplikasi yang berpotensi membahayakan golongan muda.
Pendedahan dokumen oleh pemberi maklumat telah memberi kesan serius terhadap reputasi Instagram yang kini dalam pergelutan lalu mendorong AS untuk memperbaharui peraturan.
Peguam Negara Massachusetts, Maura Healey berkata Facebook yang kini dikenali sebagai Meta gagal melindungi golongan muda di platformnya dan sebaliknya memilih untuk mengabaikannya.
“Ia mengabaikan atau menggandakan manipulasi yang diketahui akan menimbulkan ancaman kepada kesihatan fizikal dan mental seperti mengeksploitasi kanak-kanak demi keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa negeri AS itu membentuk konsortium merangkumi peguam negara, penguatkuasa undang-undang dan penasihat undang-undang tertinggi negeri termasuk New York, Colorado, California, Florida, Kentucky, Nebraska, New Jersey, Tennessee dan Vermont bagi menjalankan siasatan.
Sementara itu, Peguam Negara California, Rob Bonta berkata, siasatan antara lain menyasarkan teknik Meta untuk meningkatkan kekerapan dan tempoh pembabitan oleh pengguna muda serta kemudaratan akibatnya.
“Ia hadir selepas laporan mendedahkan bahawa penyelidikan dalaman Meta sendiri menunjukkan pengguna Instagram dikaitkan dengan peningkatan risiko kemudaratan kesihatan fizikal dan mental pada golongan muda, termasuk kemurungan, gangguan makan dan bunuh diri,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Meta menjawab dalam satu kenyataan berkata bahawa tuduhan ini adalah palsu dan menunjukkan salah faham yang mendalam tentang fakta sebenar.
“Tuduhan ini adalah palsu dan menunjukkan salah faham yang mendalam mengenai fakta sebenar.
“Kami terus membangunkan aplikasi baharu untuk membantu orang yang mungkin berdepan gangguan hubungan sosial atau isu penampilan fizikal.
“Antara lain, kami memperkenalkan saluran ‘Take a Break’ atau berehat, yang mendorong pengguna melayari kandungan internet lain,” katanya.
Syarikat itu terus membangunkan kawalan pengawasan ibu bapa dan meneroka cara untuk menyediakan pengalaman yang sesuai dengan umur untuk remaja.
Instagram, seperti laman media sosial yang lain, mempunyai peraturan terhadap kanak-kanak di bawah umur 13 tahun menyertai platform itu bagaimanapun masih ada yang memiliki akaun sosial media tersebut.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar