Semasa

Kes suntikan picagari kosong, jururawat akui cuai kerana keletihan

PUTRAJAYA : Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan kes suntikan picagari kosong tidak mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan janji temu vaksinasi.

Hal ini susulan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurut Khairy, kes suntikan kosong tanpa vaksin hanyalah disebabkan kecuaian jururawat kerana keletihan.

“Ada kes yang disiasat terhadap penjualan vaksin tetapi polis telah maklumkan kepada saya bahawa setakat ini tiada kaitan dengan kes itu.

“Bagi kes suntikan kosong tanpa vaksin, ia berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang mana jururawat mengaku telah berlaku kecuaian disebabkan keletihan yang dihadapinya,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK hari ini.

Tambah Khairy, surat amaran telah diberikan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan jururawat itu bertugas di kem tentera.

Dalam pada itu, jururawat berkenaan juga akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button