LONDON : Kes kematian pertama melibatkan varian Omicron telah direkodkan di United Kingdom (UK).
Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson memaklumkan perkara itu ketika pelancaran program suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mengekang penularan berterusan virus berkenaan.
“Dukacita dimaklumkan, sekurang-kurangnya seorang pesakit disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti Omicron.
“Jadi sekarang ini kita melihat virus ini semakin serius. Ini perkara yang perlu kita ambil kira dan kita ikuti fasa penularannya dalam kalangan populasi kita,” katanya.
Namun, mereka tidak memberikan butiran lanjut mengenai kematian tersebut atau sama ada pesakit telah diberi vaksin atau mempunyai masalah kesihatan yang mendasari.
Britain yang menjadi antara negara paling teruk dilanda krisis kesihatan global itu tahun lalu, dipercayai menjadi negara pertama mengumumkan kes kematian akibat jangkitan mutasi virus berkenaan.
Dalam satu ucapan menerusi siaran televisyen , Johnson menyarankan agar rakyatnya mendapatkan dos penggalak bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.
Hal ini disebabkan tempat tempahan vaksin Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) mengalami kerosakan dan pengguna yang memohon kit ujian saringan dimaklumkan bahawa alat itu sudah kehabisan stok kerana permintaan tinggi.
Untuk rekod, Britain merekodkan lebih 81 peratus atau 46.7 juta penduduk berusia 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya dua suntikan, manakala 40 peratus atau 23 juta penduduk sudah mendapat dos penggalak.
– AGENSI