SINGAPURA : Singapura dan Korea Selatan telah merekodkan kes pertama jangkitan cacar monyet.
Menurut laporan Channel News Asia, Singapura sekali gus menjadi negara Asia Tenggara yang pertama merekodkan kes penyakit tersebut.
Seorang lelaki warga Britain berusia 42 tahun disahkan positif pada 20 Jun malah, dia merupakan kru penerbangan dan masuk serta keluar dari Singapura sekitar pertengahan Jun, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.
Tambah kementerian tersebut, dia berada dalam keadaan stabil di wad Pusat kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit di Singapura.
Setakat Selasa, seramai 13 kenalan rapat lelaki itu dikenal pasti dan kesemuanya akan diletakkan di bawah kuarantin selama 21 hari sejak kali terakhir berhubung dengannya.
Pengesanan kenalan sedang dijalankan untuk penerbangan yang terjejas dan untuk tempoh penginapan lelaki itu di Singapura.
Di negara Asia Tenggara, kes terakhir cacar monyet di negara Asia Tenggara adalah tiga tahun lalu.
AFP turut melaporkan, Korea Selatan menjadi negara yang terbaru daripada kira-kira 40 negara yang mengesahkan kes import pertama cacar monyet.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, individu berusia 30-an yang tiba dari Jerman pada Selasa merupakan warga Korea Selatan disahkan dijangkiti virus itu.
Ketua agensi kawalan penyakit, Peck Kyong-ran memaklumkan, pesakit itu mengalami demam pada hujung minggu lalu dan gejala bertambah buruk termasuk keletihan dan ruam kulit apabila mereka tiba di negara itu.
Tambahnya lagi, pesakit itu sedang menerima rawatan dan telah melaporkan kepada pihak berkuasa di lapangan terbang sebelum berhubung rapat dengan orang lain.
Gejala awal cacar monyet termasuk demam panas, nodus limfa bengkak dan ruam seperti cacar air yang melepuh. Virus ini biasanya hilang selepas dua atau tiga minggu.
Setakat ini, wabak ini dikesan lebih mudah dijangkiti oleh golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.
Untuk rekod, Eropah kekal sebagai pusat wabak cacar monyet global seperti yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu.
Dalam pada itu, mesyuarat tergempar pada khamis akan dilakukan oleh badan kesihatan PBB bagi menentukan sama ada untuk mengklasifikasikan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.