PUTRAJAYA : Bermula Januari sehingga 6 Ogos 2021, jumlah kumulatif kes demam denggi menunjukkan penurunan dari 63, 988 kes ke 16,565 kes bagi tempoh yang sama pada 2020, iaitu pengurangan sebanyak 74.1 peratus (47,423 kes).
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata purata bilangan kes mingguan demam denggi sehingga kini dilaporkan sejumlah 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu pada 2020 dan 2,500 kes pada 2019.
“Pada tahun ini, kesemua negeri di Malaysia menunjukkan kes penurunan demam denggi berbanding tahun lepas dengan pengurangan di antara 20 peratus sehingga 94 peratus.
“Bilangan kematian setakat ini adalah sebanyak 10 kematian berbeza pada tempoh yang sama pada 2020 sebanyak 106 kematian, menunjukkan pengurangan jumlah kematian sebanyak 96 kematian (90.6 peratus).” katanya.
Ulas Dr. Adham dalam kenyataan hari ini, walaupun negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19 ketika ini, semua pihak tidak seharusnya mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit lain seperti demam denggi.
Hal ini kerana, kealpaan ini boleh menyebabkan kejayaan yang telah dicapai akan terhapus dalam sekelip mata, sekaligus, merumitkan lagi keadaan dengan ancaman kesihatan awam berganda dan akan memberi tekanan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, penyakit demam denggi masih belum ada vaksin yang berkesan untuk melindungi penduduk daripada jangkitan berterusan.
Usaha-usaha yang berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan penyakit demam denggi. Justeru itu, komitmen penuh di sertai kerjasama dari penduduk setempat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan serta sukarelawan COMBI amat diperlukan untuk memastikan kebersihan kawasan perumahan dan tempat tumpuan awam.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan terima kasih di atas komitmen dari semua pihak dan berharap usaha pencegahan demam denggi dapat dilestarikan bagi menangani penularan penyakit ini.
“Ini memastikan rakyat negara ini bebas daripada ancaman demam denggi, seiring dengan aspirasi pembangunan negara yang mana aspek penjagaan kesihatan dan kualiti hidup adalah menjadi keutamaan.” ujar Dr.Adham.
Oleh Nurshazlin Shahrom