PETALING JAYA: Orang ramai digesa untuk mendapatkan suntikan dos penggalak berikutan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitternya berkata sekiranya masih ada masyarakat yang belum mengambil dos penggalak, mereka boleh mengambil Paxlovid atau ubat antiviral Covid-19 di fasiliti kesihatan.
COVID numbers are on the rise. Get boosted, if you haven’t. Get Paxlovid, if you’re high-risk and COVID positive. Wear your mask indoors. Practice #TRIIS.
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) July 11, 2022
“Sila pakai pelitup muka apabila berada di dalam bangunan jika anda berisiko tinggi dan positif Covid-19. Amalkan TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera),” menurut ciapan tersebut.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, kes harian baharu Covid-19 meningkat sebanyak 27.9 peratus dalam tempoh 3 hingga 9 Julai lepas berbanding minggu sebelumnya.
Katanya, kes baharu dilaporkan dalam tempoh itu adalah 21,355 berbanding 16,694 kes pada 26 Jun hingga 2 Julai.