ALOR SETAR – Dalam tempoh 1 Januari sehingga 12 Mac lepas, jumlah kematian di luar fasiliti hospital (BID) di Kedah sangat membimbangkan dengan 65 kes yang direkodkan.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah itu melibatkan individu yang belum menerima suntikan dos penggalak, kira-kira 86.2 peratus.
Tambahnya lagi, 90 peratus daripada individu yang meninggal dunia tidak tahu mereka dijangkiti COVID-19 dan Kedah mencatatkan kes BID yang tertinggi.
“Jadi, saya gesa individu yang mengalami simptom seperti demam, selesema dan sakit tekak sila lakukan ujian saringan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19.
“Individu yang meninggal dunia dalam kes BID memang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, namun masih belum mengambil suntikan dos penggalak.,” katanya di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, orang Melayu masih ramai lagi yang belum mengambil dos penggalak.
“Saya tidak pasti kenapa, mungkin antaranya disebabkan berita tidak benar yang tular di media sosial,” katanya.
Katanya lagi, beliau mengingatkan supaya rakyat tidak mengambil mudah apabila mempunyai simptom ataupun enggan melakukan pemeriksaan mengenai keadaan ini hingga dikhuatiri menyebabkan kematian.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan dos penggalak kepada masyarakat, perbincangan akan diadakan bersama Pejabat Mufti Kedah dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bagi membincangkan isu ini.
“Antaranya, masjid akan dijadikan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan dos penggalak,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today