Covid19KesihatanSemasa

Kes baharu COVID-19 menurun kepada 11,994 kes

Oleh : Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof

KUALA LUMPUR : Selama enam hari berturut-turut, kes baharu COVID-19 berada di bawah paras 15,000 dengan berjumlah 11,994 kes jangkitan dilaporkan di Malaysia semalam.

Mengikut laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, hal ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kepada 4,292,585 manakala sebanyak 16,603 kes pulih dicatatkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 4,099,786.

“Kes baharu yang didaftarkan semalam, sebanyak 541 kes dimasukkan ke hospital, dan 217 kes bersamaan 40.1% dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Manakala sebanyak 324 kes atau 59.9% dalam kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, berkaitan dengan penggunaan kemudahan kesihatan khusus untuk COVID-19, hanya negeri Selangor merekodkan katil yang berpenghuni melebihi 50%   di unit rawatan rapi (ICU) dengan 53% setakat semalam.

Noor Hisham menjelaskan, penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang mencatatkan penghunian melebihi 50%.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan ventilator menurun kepada 108, menjadikan kadar penggunaan ventilator sebanyak 12%,” ujar beliau.

Tambahan pula, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt bagi negara turun daripada 0.86 kepada 0.83, dan Selangor mencatatkan kadar tertinggi iaitu 0.96 manakala Kelantan terendah pada 0.65.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button