Semasa

Kerja penyelenggaraan Jambatan Pulau Pinang hingga 30 Disember depan

GEORGETOWN : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual di Jambatan Pulau Pinang mulai 16 Ogos 2021 sehingga 30 Disember 2021 akan datang.

Hal ini sebagai salah satu daripada usaha berterusan untuk terus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pelanggan di Jambatan Pulau Pinang, khususnya bagi rakyat Pulau Pinang,

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS En Zakaria Ahmad Zabidi, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Jambatan Pulau Pinang akan dilaksanakan secara berperingkat di antara KM0.2 hingga KM8.3 melibatkan laluan Perai ke Pulau bagi mengurangkan gangguan trafik terhadap perjalanan pelanggan di atas jambatan tersebut.

“Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dijadualkan berlangsung pada sebelah malam sahaja iaitu mulai jam 10 malam hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.”

“Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan, penutupan lorong akan dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan 2 lorong terus dibuka untuk keselesaan orang ramai pada setiap masa, katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Zakaria turut memaklumkan pihak PLUS juga akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di jambatan tersebut dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papantanda elektronik di lokasi yang strategik menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

“Walau bagaimanapun, sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lorong tengah dijalankan, lorong kanan juga akan ditutup untuk tujuan keselamatan.

“Oleh itu, hanya lorong perlahan sahaja yang boleh dilalui. Sekiranya terdapat keperluan, lorong kanan akan dibuka kepada pelanggan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, para pelanggan juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka atau menggunakan laluan alternatif di sepanjang tempoh tersebut.

PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya. Dengan semangat #KitaJagaKita, kerjasama tersebut berupaya menjadikan perjalanan yang lancar untuk semua pelanggan.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button