Semasa

Kerja baik pulih bekalan air cecah 50.6 peratus

KUALA LUMPUR : Setakat jam 9:00 pagi, kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) di 998 kawasan yang terjejas telah mencapai 50.6 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Dilaporkan, daripada lapan wilayah yang terjejas, Shah Alam sudah mencapai pemulihan bekalan air sebanyak 92.3 peratus, diikuti Hulu Selangor (89.3 peratus), Kuala Selangor (75.6 peratus), Petaling (73.3 peratus) dan Gombak (59.9 peratus).

Bagaimanapun, wilayah Klang mencatatkan pemulihan bekalan air 7.1 peratus manakala Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih lagi sifar.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.” katanya.

Status pemulihan kawasan yang terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button