Covid19Semasa

Kerajaan tandatangan surat akujanji pembelian ubat antiviral Molnupiravir

PUTRAJAYA : Kerajaan telah menandatangani surat akujanji pembelian ubat antiviral Molnupiravir degan Merch Sharp & Dohme.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.

“Keputusan ini dibuat sebagai persediaan untuk memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai senjata untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain.

“Kajian yang dijalankan oleh Merch Sharp & Dohme mendapat Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu”, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, Khairy menegaskan ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat tersebut tidak boleh mencegah jangkitan, ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti.

Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekaligus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan bahawa mereka akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia dan memastikan negara tidak ketinggalan untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia.

Oleh Hafeez Anuar

 

 

Related Articles

Back to top button