Semasa

Kerajaan kekalkan tarif elektrik separuh tahun kedua 2022

KUALA LUMPUR : Tarif elektrik bagi semua pengguna akan dikekalkan untuk separuh tahun kedua 2022 pada kadar sama dengan separuh tahun pertama tahun ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan perkara tersebut berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.

Harga arang batu adalah sekitar AS$80 setan metrik (RM4.4655=US$1) bagi awal tahun 2021, namun ia telah mencecah AS$400 setan metrik pada pertengahan tahun 2022.

“Sehubungan itu, bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik, sejumlah RM5.8 billion subsidi elektrik akan ditanggung oleh kerajaan.

“Kerajaan akan membayar RM5.8 bilion tersebut kepada syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik.

Ia selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” menurut kenyataan tersebut.

“Dalam pada itu, kerajaan juga akan memberi jaminan pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion bagi memastikan operasi TNB tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara,” tambah kenyataan itu lagi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button