Keputusan tawaran ke Tingkatan 6 diumumkan 7 Julai ini
PUTRAJAYA: Keputusan tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2022 akan diumumkan pada 7 Julai 2022.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengatakan, murid lepasan SPM tahun 2021 boleh melakukan semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2022 melalui atas talian dan sekolah asal masing-masing.
“Semakan secara dalam talian menerusi aplikasi dalam Talian Tingkatan Enam melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ ,”
“Murid lepasan SPM tahun 2021 yang tidak mempunyai capaian internet boleh menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, bagi murid lepasan SPM tahun 2021 yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian bermula 7 hingga 24 Julai ini.
Tambahnya lagi, keputusan bagi permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 akan diberitahu pada 1 Ogos 2022 melalui portal yang sama.
Kementerian itu memaklumkan, pada 25 Julai 2022 murid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melaporkan diri di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.
“Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 2 Ogos 2022,” katanya.