Kepuasan pesakit adalah kepuasan sukarelawan: Mobile-Clinic MAIWP-MAPIM
Kuala Lumpur – Program Mobile-Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan MAPIM terus mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat.
Ketua Imam Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri, Mohd Khairul Ameer bin Jamaludin, melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.
“Rata-rata maklum balas yang diterima dari kariah masjid sangatlah menggalakkan. Rawatan doktor sangat teliti dan segala ubat-ubatan adalah berkualiti serta percuma,” kata beliau.
Beliau turut mengalu-alukan agar program Mobile-Clinic MAIWP-MAPIM kerap diadakan di Masjid Al-Imam Ash-Shafie kerana manfaat besar yang diperoleh oleh kariah masjid.
Zainol bin Abdullah, seorang pesara yang berasal dari Kedah dan merupakan kariah Masjid Al-Imam Ash-Shafie, juga memuji program ini.
“Program yang sangat baik terutamanya untuk pesara. Ia memudahkan mendapatkan rawatan di tengah-tengah peningkatan kos perubatan. Alhamdulillah, kos rawatan Mobile-Clinic MAIWP-MAPIM adalah percuma. Ini adalah inisiatif terbaik dari MAIWP yang patut diteruskan untuk menyantuni warga kota dan bagi mereka yang tidak berkemampuan. Program ini juga sangat dialu-alukan kerana ia mengimarahkan masjid.”
Pengarah program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM, Lidiahayani binti Ariffin, turut berkongsi keterujaannya dengan sambutan yang diterima.
“Ramai warga emas yang hadir dan dianggarkan lebih 100 pesakit menerima rawatan. Rata-rata pesakit sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Alhamdulillah, kepuasan pelanggan memberi kepuasan kepada kami sebagai sukarelawan dan penggerak program MAIWP-MAPIM,” ujar beliau.
Dengan tagline “Dari Zakat Bantu Ummah,” program ini jelas menunjukkan komitmen MAIWP dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Program ini bukan sahaja memberikan rawatan perubatan percuma, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara kariah masjid dan meningkatkan kehadiran ke rumah Allah.