Semasa

Keprihatinan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM: Masyarakat Kampung Batu Sambut Baik

Kuala Lumpur –  Kariah Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu, Kuala Lumpur, sudah menunggu sejak pagi bagi menyambut kedatangan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM, sebuah klinik bergerak yang menyediakan rawatan kesihatan percuma.

Antara penduduk yang hadir ialah Mariam binti Muhammad dari Kampung Delima. Beliau datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan bersyukur kerana keputusan kesihatannya baik.

“Alhamdulillah, saya puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Terima kasih kepada MAIWP-MAPIM atas program yang bermanfaat ini,” kata Mariam.


Seorang lagi penduduk warga emas Mek Noor binti Said, yang menghidap kencing manis, darah tinggi, dan masalah saraf, turut hadir bersama anaknya, Mazrul Hisham bin Mazlan. Beliau gembira dengan layanan yang diterimanya.

“Perkhidmatan yang diberikan sangat memuaskan dan saya bersyukur kerana dapat menerima rawatan yang diperlukan,” ujarnya.


Ketua Imam Masjid Abu Hurairah, Ustaz Mohd Fadzlah bin Abd Rashid, turut meluahkan rasa syukur atas kunjungan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM. “Pihak masjid sangat besar hati kerana program ini dapat menyantuni kariah terutamanya golongan B40. Alhamdulillah, kehadiran yang ramai insyaAllah memberi manfaat kepada kariah. Harapan saya program ini dapat diteruskan agar kariah mendapat rawatan dan menikmati kesihatan yang baik,” kata Ustaz Mohd Fadzlah.

Program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini nyata memberikan impak yang luar biasa kepada komuniti setempat, terutama dalam menyediakan akses kesihatan yang amat diperlukan oleh golongan kurang berkemampuan.

Related Articles

Back to top button