Keperluan isi pas pengembara bagi rakyat Malaysia dimansuhkan – KKM
KUALA LUMPUR: Warganegara yang akan pulang ke negara ini mulai Isnin ini, tidak perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara (Traveller’s Pass) dalam aplikasi MySejahtera mereka.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata kelonggaran itu diberikan bagi memudahkan warganegara kembali ke Malaysia di samping di samping keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap yang baik dan memuaskan.
“Pemansuhan ini akan dibuat secara berperingkat untuk turut memberi kelonggaran kepada kumpulan lain seperti pemegang pas sosial, pas pelajar serta penduduk tetap pada masa depan yang akan diumumkan kelak.
“Sebagai permulaan, pemansuhan ini hanya terpakai kepada warganegara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, ciri-ciri Pas Pengembara masih dipaparkan di aplikasi MySejahtera dan ia perlu dilengkapkan oleh para pengembara bukan warganegara Malaysia sebelum memasuki negara ini.
Dalam pada itu, selain pemantauan kes Covid-19 dalam kalangan pengembara luar, ciri-ciri itu perlu dilengkapkan oleh mereka supaya Kementerian Kesihatan (KKM) berupaya membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.