Kematian juruterbang pesawat Hawk 108 TUDM diklasifikasikan sebagai mati mengejut
BUTTERWORTH : Pihak polis mengesahkan kes kematian seorang juruterbang pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas ketika menjalani latihan ‘Night Flying’ di Pangkalan Udara Butterworth diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan terperinci berkaitan insiden tersebut masih dijalankan susulan keterangan daripada pihak juruterbang yang terselamat masih belum diperolehi.
“Keterangan ke atas juruterbang yang terselamat masih belum diperolehi kerana beliau sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Manakala, jenazah juruterbang pertama telah selamat dikebumikan semalam, pada jam 8:30 malam di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 16 November, insiden terbabit berlaku pada jam 10:07 malam di mana pesawat jenis Bae Hawk 108 terhempas di pengkalan udara dan mengakibatkan letupan.
Pada 17 November jam 4:39 pagi, satu laporan sama dibuat oleh TUDM dan mendapati pesawat yang dikendalikan terhempas ketika sedang menjalani latihan yan berlangsung selama satu jam.
Dalam satu kenyataan, pihak polis memaklumkan kedua juruterbang terbabit sempat keluar daripada pesawat dengan menggunakan kerusi anjal.
Oleh Nurshazlin Shahrom