DuniaSemasa

Kem pelarian terbakar di Bangladesh, lebih 1,000 rumah hangus dijilat api

COX’S BAZAR : Tragedi kebakaran kem pelarian di Bangladesh telah menyebabkan ribuan dari mereka kehilangan tempat berteduh, menurut polis semalam.

Menurut jurucakap Batalion Polis Bersenjata, Kamran Hossain yang mengetuai keselamatan di kem itu lebih 1,000 rumah hangus dalam kebakaran itu.

“Kebakaran bermula pada jam 4:40 petang (waktu tempatan) di Kem 16 dan merebak melalui tempat perlindungan yang diperbuat daripada buluh dan terpal, menyebabkan lebih 5,000 orang kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Bangladesh, Shah Rezwan Hayat, memberitahu Agensi Anadolu bahawa kakitangan mereka, bersama-sama dengan anggota agensi lain yang bertugas di kem, sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

“Kami berharap walaupun terdapat kemusnahan yang besar, tiada kes kematian atau kecederaan dilaporkan,” kata Hayat, sambil menambah pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mendedahkan punca kebakaran.

Seorang pegawai bomba yang bertugas, Emdadul Haq, memberitahu Anadolu Agency bahawa pada ketika ini masih belum dapat dipastikan sama ada kebakaran itu berlaku akibat litar pintas elektrik atau gas memasak.

“Di bawah pengawasan pihak berkuasa kami, kami akan menyiasat kejadian itu dan kemudian memastikan punca sebenar kebakaran,” katanya.

Untuk rekod, kira-kira 850,000 daripada minoriti Islam yang teraniaya – kebanyakan mereka terlepas daripada tindakan keras tentera 2017 di Myanmar yang disimpulkan oleh penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dibunuh dengan ‘niat pembunuhan beramai-ramai’ – tinggal dalam rangkaian kem di daerah sempadan Bangladesh Cox’s Bazar.

Pada Mac tahun lalu, kejadian sama berlaku di mana 15 orang maut dan kira-kira 50,000 kehilangan tempat tinggal di Bangladesh selepas kebakaran besar memusnahkan kediaman pelarian di penempatan pelarian terbesar di dunia.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button