Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Veterinar Malaysia (JPV) memandang serius mengenai dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, JAKIM akan melakukan siasatan menyeluruh dengan segera dan telus terhadap agensi berkenaan.
Menurut satu kenyataan, prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh Kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci, ini kerana proses tersebut menjalankan pengauditan secara sistematik.
Beliau mengambil berat mengenai isu halal dan haram melibatkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam, bagi melindungi kepentingan awam serta memberikan keadilan kepada semua pihak.
“Saya ingin menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada standard dan prosedur yang telah ditentukan JAKIM dan JPV,” katanya di Facebook.
Pada 13 Mei lalu, JAKIM bersama JPV telah bersidang bersama pihak Department of Agriculture , Water and the Environment (DAWE), dan sepakat membuat keputusan untuk menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal yang berkuatkuasa serta merta sehingga hasil siasatan diperolehi.
Selain itu, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) akan bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut dan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM sekiranya tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
“Selaku badan pensijilan Halal, JAKIM akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam,” katanya.