DomestikSemasa

Keluarga miskin di Wilayah Persekutuan terima bantuan

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan kira-kira RM6 juta melalui Yayasan Wilayah Persekutuan bagi membantu mereka yang memerlukan termasuk keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan sehingga akhir tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, isi rumah di Wilayah Persekutuan yang sebelum ini berstatus miskin tegar telah dibantu serta ‘diputihkan’ daripada kategori tersebut yang melibatkan seramai 2,856 ketua keluarga.

Katanya, jumlah yang direkodkan itu adalah daripada 4,000 miskin tegar di Wilayah Persekutuan dengan 600 daripadanya tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

“Berdasarkan angka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan yang mereka telah berikan lebih daripada RM30,000. Sekarang ini kita nak minta angka itu diperbetulkan mengikut Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri supaya kita dapat angka sebenarnya.

“Ini untuk kita beri bantuan dan sumbangan agar mereka melepasi pendapatan RM1,110 dengan caranya adalah melalui Yayasan Wilayah Persekutuan. Untuk orang Islam boleh dapat bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) manakala, orang bukan Islam pula kita beri melalui yayasan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga memastikan mereka yang dibantu ini berusaha untuk mendapatkan bantuan sumber pendapatan antaranya bekerja dari rumah dan turut  menerima bantuan.

“Selain itu, kita akan umumkan dalam masa terdekat berhubung program ekonomi yang dibuat bersama sebuah universiti. Kerjasama ini akan membolehkan mereka memperoleh sumber pendapatan.

“Seterusnya, terdapat kiosk untuk 1,000 anak muda berniaga dengan keutamaan diberi kepada kalangan B40. Saya menggalakkan anak muda yang hendak berniaga, semua akan diberi perhatian,” ujarnya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button