SemasaSyariah

Keluar agama, mengaku pondan : Pejabat mufti anggap serius

Kenyataan selebriti transgender boleh buat ummah keliru!

PUTRAJAYA – 3 Mac : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) memandang serius kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh dua selebriti baru-baru ini, membabitkan status gender dan pegangan agama mereka.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, ia membabitkan seorang artis yang mendakwa dirinya seorang transgender malah tanpa segan silu menzahirkan rasa bangga menjadi seorang pondan sebelum ini, serta kenyataan seorang usahawan kosmetik tempatan yang menyatakan beliau berniat untuk menukar agama.

“Kedua-dua kenyataan individu ini dilihat memberikan kesan yang mendalam terhadap umat Islam di negara ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Datuk Dr Luqman berkata, segelintir masyarakat mula berasa keliru dan beranggapan kedua-dua perbuatan seperti itu adalah normal serta tidak menyalahi agama.

Katanya, perbuatan itu sekaligus dibimbangi akan membuka kepada pintu-pintu keburukan yang lain.

“PMWP ingin menasihatkan kepada seluruh umat Islam di negara ini agar sentiasa memelihara maruah diri masing-masing dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum.

“Dalam Islam, setiap percakapan yang mengundang keburukan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain, akan dinilai sebagai suatu dosa di sisi Allah SWT.

“PMWP ingin mengingatkan bahawa Allah SWT melarang mendedahkan keaiban diri sendiri kepada umum,” katanya.

Luqman turut menasihatkan individu yang terlintas untuk menukar agama agar bertenang dan berehat seketika daripada kesibukan supaya mencari ketenangan diri serta merenung kembali dosa-dosa silam yang pernah dilakukan.

Katanya, mereka dinasihatkan untuk melafazkan istighfar berulang kali, berdoa, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

“PMWP ingin mengajak masyarakat agar menghormati norma masyarakat di negara ini yang sentiasa memelihara memelihara tatasusila serta kesopanan dalam perbezaan gender antara lelaki dengan wanita.

“Pada masa sama, PMWP mengambil kesempatan untuk mengingatkan umat Islam agar menghormati perlembagaan serta undang-undang yang ditetapkan khususnya yang berkaitan dengan jenayah Syariah,” katanya.

Beliau juga mengajak umat Islam untuk bersama-sama memelihara maruah diri dan selain tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang boleh membuka keaiban diri sendiri sehingga mendatangkan fitnah kepada agama.

“Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan petunjuk kepada kita semua,” katanya.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button