Semasa

Kelonggaran SOP suntik semangat industri pelancongan

PUTRAJAYA : Pengumuman khas berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, memberi khabar baik buat pengusaha di industri pelancongan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, ianya merupakan langkah awal yang dapat memberi kelegaan buat pihak industri yang telah lama terjejas.

“Pelaksanaan yang bermula esok secara langsung memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan di negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya.

“Pembukaan sektor pelancongan domestik ini dibuat secara berperingkat mengikut fasa, sekali gus memberi sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang digariskan MOTAC.” katanya.

Tambah Nancy, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama, dibenarkan membabitkan ‘homestay’ dan hotel bagi individu sudah menerima vaksinasi lengkap.

Pengusaha ‘homestay’ dan hotel perlu memastikan setiap individu yang memasuki premis mesti mempamerkan sijil digital vaksinasi Covid-19 sebagai bukti bahawa mereka lengkap menerima vaksinasi lengkap.

Dalam kenyataan beliau hari ini, MOTAC yakin dan percaya bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah dan cara terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan termasuklah aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dibuka secara berperingkat dengan persediaan rapi.

Ujar beliau, kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat semua pihak yang berkaitan bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

Katanya, secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat sudah lengkap divaksinasi untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya menasihati orang ramai yang memulakan aktiviti pelancongan di kawasan dibenarkan supaya melancong dengan selamat.

“Bersama-samalah kita memanfaatkan kemudahan diberikan ini dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

 

Related Articles

Back to top button