Alor Setar – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru kerajaan negeri dapat mengekalkan dan mengawal kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan .
Baginda bertitah, pada hari ini dunia menghadapi kejadian bencana yang kian meningkat disebabkan oleh gangguan manusia secara keterlaluan terhadap sifat-sifat semula jadi alam sekitar yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus.
Sultan Sallehuddin bertitah, perlindungan dan kelestarian alam sekitar mestilah diutamakan bagi menjaga ekosistem untuk pelbagai spesis flora dan fauna.
“Selain itu, kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Geopark hendaklah dikekalkan dan dipelihara.
“Inisiatif-inisiatif ini ada dijelaskan di dalam Teras 6 kemampanan Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035,” titah Sultan Sallehuddin sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Tahun 2020 di Istana Anak Bukit, di sini, yang berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook pada Ahad.
Tambah baginda, pada hari jumaat kerajaan negeri telah mengisytiharkan sebagai Hari Kebersihan Negeri Kedah selaras dengan Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat bagi tujuan membudayakan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran bagi rakyat Malaysia amnya, dan negeri Kedah khususnya.
“Lanjutan daripada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil inisiatif agar dapat menjadikan kebersihan sebagai satu budaya di kalangan masyarakat,” titah Sultan Sallehuddin.
Sehubungan itu, baginda berpesan sikap dan mentaliti masyarakat terhadap budaya menjaga kebersihan harus ditingkatkan melalui penglibatan semua pemimpin masyarakat.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today