Covid19KemanusiaanSemasa

MAPIM, Yayasan Qyyum sumbang pelindung muka, pek makanan bernilai RM50,00 kepada kerajaan Kedah

Bantu mangsa Covid-19 yang terjejas TEMCO

Kerajaan Kedah mengalu-alukan sumbangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM,  dan Yayasan Qyyum dalam membantu rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md. Noor mengucapkan terima kasih di atas sumbangan berupa pelindung muka dan pek makanan, bernilai RM50,000 khusus dihulurkan kepada rakyat Kedah terutama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO).

Bertempat di Wisma Darul Aman, penyerahan pek makanan dan pelindung muka berkenaan disampaikan kepada Menteri Besar oleh Setiausaha Agung MAPIM, Mejar Zul Hanis Zainol, dan Yayasan Qayyum yang diwakili oleh Presidennya, Abdul Qyyum Mustakem.

Buat permulaan sejumlah 100 pek makanan disumbangkan dan baki daripada 5,000 pek makanan akan sampai dalam tempoh 14 hari lagi.

Pada masa yang sama Menteri Besar memberitahu keprihatinan MAPIM dan Yayasan Qyyum amat dihargai bagaimanapun beliau berkata pihak NGO tidak digalakkan menyampaikan sendiri sumbangan di kawasan TEMCO buat ketika ini.

Sebaliknya menurut Menteri Besar, sumbangan akan diletakkan di pusat bekalan dan diedarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab, ini semata-mata bagi memastikan keselamatan pihak yang memberi sumbangan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MAPIM , Mejar Zul Hanis Zainol berkata, usaha ini adalah kali ke-2 misi MAPIM membantu mereka yang terjejas pandemik Covid-19 di Kedah.

Pada Ramadan yang lalu, usaha yang sama telah dilakukan dalam misi Jelajah Peduli Ummah di lapan buah negeri.

Tambah beliau terdapat beberapa lagi projek yang dirangka bersama-sama dengan kerajaan negeri Kedah, di antaranya perkampungan ummah iaitu pembinaan rumah buat golongan asnaf.

Kewujudan perkampungan ini bermatlamat mengubah sosio-ekonomi penerima zakat kepada golongan pemberi zakat.

Bagi usaha itu kawasan di Sik, Jeniri dan Baling adalah di antara kawasan yang telah dikenal pasti dan bakal melalui perbincangan lebih lanjut dengan Kerajaan negeri Kedah.

Sementara itu, Presiden Yayasan Qyyum, Abdul Qyyum Mustakem berkata, sumbangan 5,000 pelindung muka diharap membantu pembelajaran yang lebih selamat di sekolah-sekolah yang terpaksa diteruskan dalam keadaan wabak melanda di negeri itu.

Usaha sama di antara Gaia Plus Sdn Bhd dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara, UiTM, kini mampu menghasilkan 150,000 pelindung muka sejak Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, diumumkan oleh  kerajaan pada 18 Mac lalu.

Dengan perkembangan terkini di Kedah yang kembali mencatat kes-kes baharu Covid-19, MAPIM dan Yayasan Qyyum katanya terpanggil untuk menyegerakan sumbangan pelindung muka dan pek makanan ini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button