Secara lahiriah biologi manusia ini diciptakan hanya dua iaitu lelaki dan perempuan. Namun begitu, wujud kecenderungan masalah kepada kecelaruan seksual dan jantina dalam kalangan masyarakat yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurut Blanch Consulting, lesbian merujuk kepada perempuan yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap perempuan lain. Gay pula merujuk kepada lelaki yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki lain.
Sementara itu, biseksual merujuk kepada seseorang yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap kedua-duanya lelaki dan perempuan. Transgender pula merujuk kepada seseorang yang identiti jantina atau ekspresi jantinanya berlawanan atau bertentangan dengan norma tradisi serta ciri fizikal seksualnya.
Pada dasarnya budaya LGBT ini terkenal di negara-negara barat dan gaya hidup songsang ini secara perlahan disuntik pada minda masyarakat melalui platform media massa seperti filem, lagu dan media sosial.
Hal ini telah membangkitkan kegusaran dikalangan umat Islam apabila budaya LGBT ini semakin menjadi norma buat masyarakat tempatan terutamanya golongan muda yang dahagakan kebebasan.
Menuntut kebebasan itu tidak salah selagi mana ia tidak melanggar syariat dan hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.
Sesungguhnya perilaku homoseksual ini sudah jelas tertera dalam Al-Quran di mana begitu dahsyat azab yang pernah menimpa umat Nabi Lut A.S.
Sebagaimana firman Allah SWT pada Surah al-A’raf ayat 80 hingga 84 bermaksud:
“Dan Nabi Lut (juga Kami utuskan). Ingatlah tatkala dia berkata kepada kaumnya, ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.’ Dan tiada jawapan oleh kaumnya melainkan mereka berkata, ‘Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) mensucikan diri. Maka Kami selamatkan dia dan ahlinya (keluarganya dan pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia tergolong dalam orang yang dibinasakan. Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan.”
Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah SWT jelas menerangkan bagaimana azab yang menimpa kaum Sodom dan Amoro di daerah Syam akibat daripada mengamalkan budaya hidup songsang.
Bagi mengekang budaya LGBT yang semakin menular di Malaysia, kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bertujuan membanteras permasalahan sosial dalam komuniti.
Bukan itu sahaja, di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, menjadi kesalahan bagi mana-mana orang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah.
Oleh yang demikian, undang-undang yang dilaksanakan ini bukanlah untuk menindas kelompok LGBT sebagaimana yang didakwa sesetengah masyarakat.
Membanteras LGBT bukanlah bermaksud menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia. Mereka masih mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan seperti biasa.
Namun, apabila budaya LGBT ini mengundang masalah moral, maka, tindakan wajib diambil dan masyarakat wajar memandang serius bagi membendung gejala terlaknat tersebut.
Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Empat jenis manusia dimurkai Allah pada waktu pagi dan dikutuk Allah pada waktu petang.” Aku bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Orang lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang melepaskan nafsu pada binatang dan orang yang datang kepada lelaki (homoseksual).”
Hadis Riwayat al-Baihaqi
Justeru, sebagai masyarakat juga saudara seagama, kita memainkan peranan yang penting dalam membantu mereka untuk kembali kepada fitrah.
Tindakan mendiskriminasi dan mengutuk perbuatan mereka, hanyalah perbuatan merugikan dan bakal membuka jurang yang lebih besar.
Antara usaha yang dapat kita ikhtiar adalah dengan bimbingan penuh dan kaunseling. Selain itu, peranan ahli keluarga juga menjadi penyumbang bagi memperbaiki akhlak serta jatidiri mereka.