KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua rakyat Keluarga Malaysia untuk terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sealiran dengan kelonggaran yang diberi kepada rakyat untuk merentas negeri.
Melalui hantaran di Facebook rasminya, beliau menegaskan bahawa pandemik Covid-19 ini masih berada di sekitar kita.
“Ramai yang nak balik kampung berjumpa ibu bapa dan keluarga. Di radio tempatan juga ada yang mendendangkan lagu ‘Balik Kampung’ tanda kegembiraan warga Keluarga Malaysia untuk pulang ke kampung halaman.
“Bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin, dibenarkan merentas negeri namun sentiasalah menjaga (SOP) dan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat kita” katanya.
Dalam sidang khas media pada 10 Oktober 2021, Perdana Menteri bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.
Beliau juga berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
Oleh : A.Azfar